Assalammualaikum.
Sejak
 beberapa bulan ini, dari saat saya bertekad sebulat hati mengenakan 
hijab walaupun sebagai seorang yang belum Islam hatinya, hingga ke saat 
ini (3 Julai, sekarang pukul 6 pagi baru lepas Sahur), di mana saya 
telah Islam di hati, cuma tinggal perasmian sebagai seorang Islam di 
atas kertas dan di depan 4 orang saksi...saya telah mengharungi pelbagai
 dugaan.
Bantahan.
Makian.
Sindiran.
Fitnah.
Penyisihan.
Tekanan.
Tetapi
 syukur Alhamdullilah...saya juga dapat sokongan yang begitu hebat, yang
 menyentuh hati dan sokongan positif inilah yang serba sedikit 
menyumbang kepada saya untuk terus beristiqamah.
Dan saya harus berterima kasih juga dengan kedegilan saya. 
Terkenal juga dengan kepala batu saya, saya tidak mudah mengalah. 
Ya...saya mengaku, banyak kali saya rasa tumpas, tewas dan menangis atas semua yang negatif dan kasar terhadap saya. 
Namun, saya tetap tidak tanggalkan hijab saya.
Saya tetap teruskan perjalanan. 
Saya
 bertuah kerana dikurniakan seorang ibu yang bukan sahaja tabah untuk 
membesarkan saya dan adik dalam keluarga, tetapi rahmat yang terbesar 
adalah apabila beliau, seorang yang bukan Islam, langsung tidak 
mengetahui tentang agama Islam (kecuali yang Islam tak boleh makan 
khinzir) dan seringkali disindir saudara mara yang lain kerana anak 
perempuannya bertudung sehingga ke muka depan suratkhabar dan 
sebagainya...tidak membantah, malah merestui keputusan saya ini apabila 
saya memberitahu beliau yang saya sedang mempelajari tentang agama Islam
 dan bercadang untuk memeluknya.
Ibu kata saya sudah banyak berubah lebih baik.
Ibu kata saya dah matang, dah dewasa akhirnya.
Dalam dialek Kantonis, bila saya bermanja dan menanya kenapa beliau merestui keputusan saya, beliau menjawab, "Sang seng jor lor, dai gor nui la...kwai jor hou dor."
Ibu saya senyum, dan saya menahan air mata.
Rata-rata,
 ramai mualaf yang dibuang keluarga dan disisihkan keluarga kerana 
keputusan yang sama, dan ada segolongan pula yang terpaksa 
menyembunyikan identiti mereka sebagai seorang Islam daripada keluarga 
dan orang ramai kerana takut dibuang keluarga dan disisihkan. 
Saya
 mengaku, jika ayah saya tidak meninggalkan kami sekeluarga, mungkin 
perkara yang sama akan berlaku pada diri saya. Tetapi Allah Maha 
Mengetahui. 
Mungkin ini juga salah satu hikmah dari penceraian ibu dan ayah.
(Ibu saya jauhhhh lebih bahagia sekarang juga, ALHAMDULLILAH!)
Ia
 memaksa saya untuk berdikari pada usia muda, menjaga adik sehingga saya
 habis SPM dan terus meninggalkan Ipoh untuk mencuba nasib seorang diri 
di Kuala Lumpur dengan hanya RM300 sebulan sementara saya belajar di 
sebuah IPTS. Apabila sudah dihentikan saluran duit satu hari, saya 
keluar bekerja kerana saya tidak ingin melihat ibu saya terus bersusah 
payah menggunakan duit simpanan beliau yang tidak seberapa untuk menyara
 kami adik-beradik. Tambahan pula, adik saya perlu (dan saya pastikan) 
menyambung pelajaran dan perlu wang untuk membiayai yurannya. 
Saya mula memikul tanggungjawab menyara keluarga.
Pada
 masa itu, saya tidak ada agama (saya dibesarkan di keluarga yang tidak 
percaya kepada mana-mana agama atau Tuhan), tidak ada apa-apa bimbingan 
agama...cuma berbekalkan nasihat dari ibu saya; iaitu jangan menyusahkan
 orang lain, jangan membiarkan mana-mana lelaki mengambil kesempatan, 
jangan berbuat jahat, jangan tertipu dengan orang di bandar dan jaga 
diri baik-baik.
Namun
 sebagai seorang naif yang tidak tahu apa-apa tentang dunia, tipu helah 
dan godaan manusia (Ya, keputusan SPM yang baik tidak menjamin anda akan
 selamat dengan tipu helah dunia)...saya juga mula terikut-ikut dengan 
orang di sekeliling saya. TETAPI, saya cuba sedaya upaya yang boleh 
untuk melindungi diri saya dan pada masa yang sama mencari nafkah untuk 
dihantar balik ke rumah untuk ibu dan adik. Saya kekalkan pendirian 
untuk tidak sentuh arak, rokok, atau dadah. 
Pernah
 banyak kali dipaksa, tetapi kedegilan saya untuk menurut paksaan dan 
suruhan orang lain menyelamatkan saya dari terjerumus sekali dengan yang
 lain.
Dengan
 mata saya sendiri saya sepanjang hampir 10 tahun saya terlibat dalam 
bidang modeling, saya pernah lihat pelbagai jenis manusia dan cara 
kehidupan yang dikatakan "mewah" dan bahagia.
Mewah juga disamakan dengan kebahagiaan. 
Orang
 di sekeliling saya pada masa itu kebanyakkannya mengukur kebahagiaan 
dengan kekayaan teman lelaki, apa parti yang paling "happening" yang 
mereka dapat pergi, rasa "happy" janji dapat minum dan mabuk, berapa 
yang boleh dikikis dari lelaki kaya yang memikat, dan kebanyakkan 
mendahagakan kemewahan dan dicari tanpa mempedulikan harga diri.
Tetapi
 bagi saya, itu bukan kemewahan yang saya cari. Sebab apa gunanya punyai
 kemewahan tetapi hidup rasa kosong, tidak bermakna dan bergelumangan 
dengan dosa?
Itu bukan kebahagiaan yang saya carikan.
Saya pernah cuba mencari Tuhan.
Cuba mendekati diri dengan Tuhan.
Saya pernah pergi ke gereja Katolik setiap Ahad petang selama 2 tahun.
Saya pernah cuba memahami agama Kristian.
Saya pernah cuba mencari makna dalam penyembahan berhala Dewa Kuan Yin dan sebagainya.
Saya juga pernah cuba mengamalkan amalan seorang penganut Buddha.
Tetapi hati saya tidak pernah merasa dekat dengan Tuhan.
Hati saya tidak pernah rasa tersentuh.
***Harap
 jangan salah faham, di sini saya cuma ingin menekankan bahawa saya rasa
 lebih dekat dengan agama Islam, dengan Allah SWT. Saya hanya 
menjelaskan apa yang saya rasa dari hati.
Sejak
 saya mula mengenali ajaran-ajaran agama Islam, saya lebih redha, lebih 
tenang dan lebih senang bersyukur dengan hidup yang serba sederhana.
Duit dan kemewahan tidak lagi menarik perhatian saya sepertimana dahulu. 
Saya
 tidak lagi rasa "impressed" atau teruja dengan kereta sport, bag mahal,
 kehidupan glamor, atau cita-cita tinggal di rumah besar dan mewah.
Ya,
 tidak dapat dinafikan, jika ada semua ini, bukan benda yang buruk, 
malah bonus kehidupan...tetapi wang dan kemewahan tidak dapat membeli 
rasa bertaubat, rasa ingin menjadi seorang yang lebih baik, ketenangan, 
keredhaan dan kebahagiaan.
Sepanjang hampir 7 bulan saya berhijab dan mengenali agama Islam, saya banyak menangis. 
Bukan dalam kesedihan, tetapi dalam rasa penyesalan kehidupan yang dulu dan rasa ingin bertaubat.
Seringkali saya merintih dalam bisikkan yang saya ulang tanpa henti, "Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa saya!"
Seringkali saya merintih dalam bisikkan yang saya ulang tanpa henti, "Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa saya!"
Pada kali pertama saya melihat video pengislaman dan pengucapan seorang wanita, saya tidak dapat henti menangis.
Pada saya, dia amat bertuah kerana Allah SWT memilih dia untuk diselamatkan.
Masa itu...saya masih tidak tahu apa itu hidayah dan taufiq.
Dan pada hari ini, iaitu hari bersejarah dalam hidup saya...saya akan menjadi seorang Islam secara rasmi. 
3 Julai 2014, bersamaan dengan 5 Ramadhan 1435.
Saya
 yang telah Islam di hati (tanpa disedari), kini akan mengucapkan 2 
kalimah syahadah saya di depan keluarga terdekat saya, dan juga para 
kenalan yang telah seringkali menyokong dan memberi galakkan pada saya 
supaya terus istiqamah.
Tidak ada sebarang media yang akan hadir.
Hari ini bukan hanya saja Hari Lahir saya...tetapi juga Hari Kelahiran Semula saya. 
Hari saya kembali akhirnya selepas 28 tahun mencari jalan pulang.
P.S:
 Saya masih berbangsa Cina, dan akan berkeras mengekalkan nama Cina yang
 diberi ibu saya. Nama Cina saya dalam bermaksud "Ketenangan, 
Keanggunan" atau di dalam bahasa Inggeris, "Silent Grace". 
Saya cuma akan menambah nama kurniaan dari mimpi saya di hadapan nama asal.
Terima kasih semua atas sokongan anda. =)



No comments:
Post a Comment